Plot Two Women's Room

Min Kyung-chae ialah seorang Naib Presiden Hotel Mona Lisa, iaitu sebuah hotel yang mewah. Dia kemudian bertemu dengan seorang gadis miskin yang bernama Eun Hee-soo. Bersimpati dengan nasib Hee-soo itu, dia mengajak Hee-soo dengan ibunya untuk tinggal di rumahnya. Ibu Kyung-chae kemudian mencurigai Hee-soo dan berasa bimbang suatu hari nanti mereka akan cuba mengambil alih rumah mereka. Kyung-chae kemudian menjelaskan bahawa ibunya salah faham dengan Hee-soo lalu meminta ibunya untuk melayani mereka dengan baik. Hee-soo yang terpesona dengan kehidupan mewah Kyung-chae bertekad untuk mengambil semuanya yang dimiliki Kyung-chae serta daripada keluarganya. Selepas dia berjaya mendapatkan kerja di hotel tersebut, Hee-soo kemudiannya berusaha untuk menggoda teman lelaki Kyung-chae, Han Ji-sub untuk menjadi kekasihnya. Apabila Kyung-chae mengetahui semua itu, dia berasa sangat kecewa dan berasa dikhianati selepas melihat Hee-soo dan Ji-sub bercumbu di atas bumbung hotel itu.

Suatu hari, Hee-soo meminta pertolongan Ji-sub untuk membantunya menjatuhkan ayah Kyung-chae, Min Dong-chul yang merupakan Presiden Hotel Mona Lisa, dengan cara membuatkan Dong-chul ditahan pihak polis akibat kesalahan rasuah. Kyung-chae bertekad untuk mencari dalang di sebalik penangkapan ayahnya itu. Kemudian, dia mendapati Hee-soo ialah punca ayahnya ditangkap dan kemudian mereka mula menjadi musuh. Hee-soo bertindak memujuk ahli lembaga pengarah hotel untuk memecat Kyung-chae daripada memegang jawatan Naib Presiden Hotel Mona Lisa. Setelah itu, dia kemudian kembali ke rumah Kyung-chae untuk membakar rumah itu serta membunuh ibu Kyung-chae, Yeo Ok-sun yang separuh lumpuh. Kejadian itu membuatkan Kyung-chae, ayahnya serta adiknya, Eun-chae tidak mempunyai rumah lalu menjadi miskin. Ayah Kyung-chae dibebaskan kerana hilang ingatan dan masalah kesihatan. Kyung-chae beruntung apabila kawan yang dipercayainya, Jin Soo-hyuk menawarkannya untuk bekerja di restoran miliknya. Soo-hyuk sebenarnya ialah chef di Hotel Mona Lisa namun dia membuat keputusan untuk meletakkan jawatan setelah mengetahui kejadian yang menimpa Kyung-chae di hotel tersebut.

Sementara itu, Hee-soo dilantik menjadi Naib Presiden Hotel Mona Lisa yang baharu. Dia kemudiannya berkahwin dengan Ji-sub. Hee-soo kini menetap di rumah Kyung-chae yang sudah pun diubah suai semula. Kyung-chae dan Soo-hyuk berjaya kembali ke hotel tersebut apabila Soo-hyuk menjadi Presiden Hotel Mona Lisa yang baru, manakala Kyung-chae menjadi wakil rakan kongsi Hotel Mona Lisa, iaitu Lubyni. Tujuan sebenar mereka adalah untuk membongkar segala kejahatan Hee-soo, manakala Kyung-chae ingin mendapatkan semula apa yang telah dirampas oleh Hee-soo daripadanya. Hubungan Hee-soo dengan mentuanya mulai bermasalah apabila dia memalsukan kehamilannya lantas membuatkan ibu mentuanya hilang kepercayaan terhadap dirinya. Ji-sub sering menasihati Hee-soo agar menghentikan segala rancangan jahatnya itu sebelum terlambat namun tidak diendahkan oleh Hee-soo. Pihak bank memaklumkan Hee-soo bahawa jika dia gagal untuk membayar kembali pinjaman yang telah dibuat tepat pada waktunya, rumahnya akan dilelong. Disebabkan tekanan dan menjadi buntu, Hee-soo kemudian mencuba untuk mendapatkan bantuan daripada peguamnya namun akhirnya peguamnya sendiri mengkhianati dirinya.

Selepas berjaya mendapatkan bukti yang kukuh, Kyung-chae bertindak untuk menyaman Hee-soo dan membawanya ke mahkamah. Hee-soo akhirnya mengakui segala kesalahannya lantas menyebabkan dia meringkuk dalam penjara seumur hidup. Hee-soo kemudian mengetahui bahawa dia menghidap penyakit yang membawa maut. Kyung-chae yang mengetahui penyakit Hee-soo itu segera bergegas untuk menemui Hee-soo melihat keadaannya itu. Namun, Hee-soo mengatakan bahawa dia tidak akan sesekali memohon maaf daripada Kyung-chae. Sesudah itu, Hee-soo jatuh pengsan. Kemudian, Hee-soo digegaskan ke hospital di mana dia hanya terbaring lemah dan penat di katil. Kemudian, Hee-soo menziarah ibu Kyung-chae yang sudah meninggal di rumah krematorium untuk memohon kemaafaan. Tidak lama kemudian, Soo-hyuk membawa Kyung-chae untuk melawat ibu Kyung-chae lalu menyarungkan cincin di jari Kyung-chae di hadapan makam ibu Kyung-chae. Pada malam harinya, Hee-soo menghubungi Kyung-chae untuk bercakap dengannya. Setelah selesai bercakap, Hee-soo meninggal dunia manakala ibunya pula meringkuk dalam penjara.